Thursday, November 20, 2008

3,854 guru j-QAF terima diploma perguruan



KUMPULAN ketiga seramai 3,854 guru Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah j-QAF ambilan Januari 2007 menerima diploma pendidikan masing-masing pada majlis konvokesyen yang berlangsung di Putrajaya bermula 18 hingga 20 November. 

Daripada jumlah itu, 89 graduan dari 26 institut pendidikan guru (IPG) seluruh negara dipilih sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik majlis kali ini.
 

Sidang pertama konvokesyen disempurnakan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran, Abd Rashid Ngah yang turut menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik kepada 13 pelajar dari lima IPG.

Berucap pada majlis itu, Abd Rashid, berkata guru j-QAF perlu bersedia memikul tanggungjawab mendidik anak bangsa agar menjadi masyarakat berguna, berdaya saing dan mampu menjadi ejen perubahan sosial ke arah pembentukan masyarakat Islam terpuji. 

Katanya, kesediaan dan kemampuan guru itu mampu merealisasikan Falsafah Pendidikan Islam secara berkesan, selain meningkatkan potensi diri menerusi pemilikan ilmu pengetahuan, sahsiah baik dan berketerampilan. 

“Pendidik yang berkualiti adalah mereka yang membudaya dan memakmurkan ilmu dengan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

“Malah, mereka juga perlu meningkatkan kualiti pengajaran agar pembelajaran murid menjadi lebih menarik dan menyeronokkan sehingga mereka menguasai tulisan jawi dan bahasa Arab, malah mengkaji rahsia al-Quran, selain menjadikan fardu ain sebagai pegangan hidup,” katanya. 

Sementara itu, penerima Graduan Terbaik Kokurikulum dari Institut Perguruan Keningau, Sabah, Rizaimi Razak, berkata cabaran mengajar di luar bandar menguatkan azamnya untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pendidik.
 

“Tidak dinafikan pelajar di kalangan keluarga berpendapatan rendah sukar berubah.
 

“Saya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebatu, Beufort dan kebanyakan pelajarnya terdiri daripada kaum Bisayah yang boleh dikategorikan sebagai lemah pengetahuan agama Islam.

“Di sinilah kesabaran dan tanggungjawab saya diuji, namun saya berazam untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan pengetahuan anak didik agar lebih cemerlang,” katanya. 

Sementara itu, penuntut Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, Norhaslida Khalid terpilih menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan dan Akademik.
 

Norhaslida yang kini menantikan kelahiran anak kedua mengakui sukar untuk melakukan dua kerja pada satu masa tetapi bersyukur kerana berjaya mengharunginya.
 

“Pengorbanan suami membantu menguruskan rumah tangga memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran dan memperoleh keputusan cemerlang,” katanya yang bertugas di SK Bangsar, Kuala Lumpur.

Dipetik dari BH 20/11/2008

1 comments:

dark_eky said...

pnat, lenguh kaki berdiri..
tgn pn nk krem dibuatnyer..
tp sronok gk rs..
hahaha
^_^