Thursday, March 26, 2009

MEMEGANG ISLAM DI AKHIR ZAMAN SEPERTI MENGGENGAM BARA API

Islam suatu ketika dahulu pernah menguasai 2/3 dunia di mana 1/3 lagi adalah benua Afrika, semuanya ini adalah kesan daripada pengamalan Islam yang betul dan sempurna oleh umat Islam sehingga mereka diberikan Kejayaan yang cukup besar oleh Allah Taala. Namun apa yang terjadi kepada umat Islam pada hari ini adalah sebaliknya di mana umat Islam pada hari ini sering di pandang serong dan dianggap sebagai pengganas oleh pihak-pihak yang benci dan sentiasa menaruh harapan untuk membinasakan Islam yang terdiri dari pelbagai pihak seumpama missionary Kristian mahupun pihak Yahudi laknatullah.


Umat Islam pada hari ini hilang izzahnya kerana disebabkan sikap dan tingkah laku mereka sendiri yang sudah semakin menjauhkan diri dari Agama Islam di mana ajaran Islam tidak lagi dipedulikan ekoran terlalu sibuk berlumba-lumba untuk mengejar kesenangan dunia sehingga terabainya urusan Agama yang dengannya kita akan selamat di akhirat kelak. Dalam hadis Nabi s.a.w menggambarkan bahwa keadaan orang-orang yang berpegang dengan Agama Islam seperti menggenggam bara api. Hadis tersebut berbunyi :

Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api".

(H.R. Tirmizi)

Mengapakah umat Islam pada akhir zaman yang berpegang dengan Islam digambarkan seolah-olah menggenggam bara api? Ini kerana orang-orang yang ingin melaksanakan Islam pada masa itu dipandang serong dan mendapat tentangan yang cukup hebat dari pelbagai pihak sehingga mereka dipandang asing pelik dan ganjil oleh masyarakat pada waktu itu yang akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertahan dengan situasi tersebut lalu mengabaikan ajaran Agama. Umat Islam pada waktu itu juga akan hanya melaksanakan ajaran Islam yang memberikan keuntungan kepada mereka dan yang tidak menguntungkan mereka akan ditinggalkan. Mereka akan hanya melaksanakan mana-mana yang mudah nak dilaksanakan daripada urusan agama dan akan meninggalkan mana-mana yang agak susah untuk dilaksanakan.

Keadaan Yang Digambarkan Oleh Nabi Dengan Situasi Pada Hari Ini

Jika diperhatikan keadaan masyarakat kita dengan apa yang diberitakan oleh Nabi mengenai masyarakat pada akhir zaman yang memegang Islam seperti memegang bara api kita dapat membuat kesimpulan bahawa trend masyarakat kita telah pergi ke arah itu di mana golongan yang cuba mengamalkan Islam dan melaksanakannya di lihat sebagai masyarakat yang konservatif. Bagi golongan yang anti kepada Islam ajarannya tidak lagi sesuai untuk diamalkan pada zaman sains dan teknologi ini. Kita mungkin tidak berapa kisah jika golongan yang bersikap sebegini terdiri dari Non-Muslim dan apa yang menyedihkan kita ialah umat Islam sendiri yang kadang-kadang berperangai seperti ini. Mereka beranggap bahawa Islam itu hanyalah sesuai pada zaman Nabi sahaja bukannya pada zaman sekarang.

Pegang Islam Pasti Bahagia Dunia & Akhirat

Dengan Islam-lah kita akan mendapat kebahagiaan hidup bukan setakat di dunia bahkan kebahagiaan tersebut akan berpanjangan hingga ke akhirat. Oleh itu, kita mesti berpegang teguh dengan ajaran agama dan berusaha melaksanakannya walaupun kita merasa susah kerana ia mungkin susah di mata kita akan tetapi kemaslahatannya berpanjangan. Jika untuk kesenangan dunia kita rela bersusah payah mengapa tidak untuk urusan akhirat kerana matlamat akhir yang kita dambakan ialah kebahagiaan di sana yang kekal abadi. Wallahu’alam.

1 comments:

student said...

apabila agama tak dipegang dengan semputna, nilah jadinya.

kat mane2 pun kita perlu sampaikan perkara agama..dalam apa2 suasana sekalipun.

ingt 3sebab mengapa belajar ilmu;
1.untuk hilangkan kejahilan
2.untuk diamal
3.untuk disampaikan

apabila apa yg ada di dada hanya untuk dimegak-megah maka itu menjadi asbab kerosakan dan kesilapan yg besar.

untuk diri sy sendiri kata-kata ini ditujukan. moga2 dapat amal dan sampaikan. jazakallah.