Sunday, April 05, 2009

Pakistan dikejut video sebat


IMEJ televisyen menunjukkan beberapa lelaki memegang remaja perempuan yang disebat kerana dituduh ada hubungan sulit.


Kerajaan arah siasat Taliban rotan remaja di khalayak ramai

ISLAMABAD: Pakistan digemparkan semalam dengan penyiaran video menunjukkan sekumpulan militan Taliban di Lembah Swat menyebat seorang remaja wanita berusia 17 tahun yang dituduh menjalin hubungan sulit.

Tidak jelas bila dan di mana video itu diambil tetapi ia dipercayai diambil dengan telefon bimbit di Lembah Swat. Ia disiarkan secara meluas oleh stesen Dunya TV dan stesen lain di Pakistan, kelmarin.

Video selama dua minit itu menunjukkan wanita yang wajahnya tersembam ke tanah dipegang dua lelaki bahagian tangan dan kakinya. Mangsa yang memakai burqa disingkap sehingga menampakkan seluar panjang merah jambu.



Seorang lagi lelaki memakai serban hitam dan berjanggut panjang merotan belakangnya lebih 12 kali, menyebabkannya menjerit dan berkata "Berhenti, berhenti! Ia menyakitkan!" Tidak jelas siapa yang mengarahkan sebatan itu dan bila ia berlaku.

Muslim Khan, jurucakap Taliban di Swat, berkata militan menyebat seorang wanita sembilan bulan lalu atas dakwaan dia mengadakan hubungan haram dengan bapa mentuanya, namun tidak pasti jika video terbaru itu menunjukkan insiden terbabit.

Tetapi, aktivis hak asasi manusia, Samar Minallah mengecam puak Taliban yang mahu menguatkuasakan undang-undang Syariah di wilayah berkenaan, merotan remaja itu dan menjual rakaman itu secara terbuka.

"Mereka lakukannya hanya atas syak wasangka. Tidak ada perbicaraan, bukti atau saksi memberi keterangan. Rakaman itu sengaja diedarkan bagi mengugut penduduk dan menunjukkan bahawa mereka boleh lakukan apa yang mereka suka," katanya.

Pihak berkuasa Pakistan sudah mengarahkan siasatan dibuat ke atas insiden berkenaan. Beberapa minggu lalu, Islamabad akur kepada kehendak Taliban untuk menguatkuasakan undang-undang Islam di wilayah itu. – Agensi

0 comments: