Saturday, October 09, 2010

Menuju Rukun Islam Kelima

Ibadat haji merupakan suatu rukun Islam yang lima dan kewajiban yang mesti ditunaikan bagi yang berkemampuan. Beruntunglah mereka yang bakal menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Mereka ini tentunya sudah mempersiapkan diri dari awal lagi hingga memasuki hari berangkat ke tanah suci kerana ibadah haji merupakan suatu pengorbanan yang melibatkan rohani, jasad dan juga harta.

Jemaah haji yang pergi menunaikan ibadat haji sebenarnya sedang berhadapan dengan untung nasib mereka di akhirat. Mereka meninggalkan pakaian yang berjahit, menitiskan air mata keinsafan di Padang Arafah, melaungkan kata-kata taubat dan penyesalan dengan semua bahasa manusia yang ada di bumi ini. Bersama-sama bermalam di Muzallifah, berlumba-lumba melontar Jamrah serta berusaha tawaf dan bersai tanpa mengenal erti penat dalam menghadapi rintangan dan cabaran semasa mengerjakan haji.

Setiap jemaah yang baru selesai menunaikan rukun Islam yang kelima itu pastinya berdebar-debar untuk pulang bertemu keluarga masing-masing. Pelaksanaan ibadat haji telah pun selesai, mereka sekarang boleh digelar haji di depan nama-nama mereka. Setiap orang yang pergi menunaikan haji pastinya mengharapkan untuk mendapat haji yang mabrur.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, ”Haji mabrur itu tiada balasan yang lain kecuali syurga”(Riwayat Abu Hurairah). Orang yang menunaikan ibadat haji dengan sempurna akan mendapat haji yang mabrur. Bagi mendapatkan haji mabrur seseorang itu perlu menyempurnakan rukun haji dan menjaga pantang larangnya ketika menunaikan haji.

Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama, bererti baik, suci dan bersih. Kedua, bererti diterima dan mendapat keredhaan Allah SWT. Dengan demikian haji mabrur adalah haji yang membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya. Orang yang memperolehi haji mabrur semakin kuat imannya serta semakin meningkat amal ibadatnya.

Tidak mudah untuk mendapatkan haji mabrur, sebagaimana yang dikatakan oleh Umar bin al-Khattab sekitar 1400 tahun yang lampau, iaitu hanya makan angin (melancong) yang banyak sedangkan yang melakukan haji hanya sedikit. Ini bermakna banyak orang yang mengerjakan haji tetapi sedikit sahaja yang benar-benar melakukan ibadat haji dan memahami setiap amal ibadat haji sehingga memperoleh haji mabrur.

Setiap orang yang telah mengerjakan ibadat haji sebenarnya telah mengunjungi tempat yang paling suci di dunia ini. Maka mereka haruslah berusaha agar haji yang diperolehi tidak tercemar setelah pulang ke tanhair. Ibadat haji yang dilakukan memberinya peluang untuk membuat perubahan yang baik untuk dirinya.

Kesan daripada ibadat haji adalah dengan bertambahnya mutu kehidupan beragama serta beriltizam dengan amalan Islam. Mereka ini menjadi contoh dan teladan dalam kehidupan harian. Apabila seseorang itu bergelar haji, bertambahlah tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Mereka mesti menunjukkan perilaku yang baik, bertutur dengan kata-kata yang manis serta menahan diri dari mengeluarkan kata-kata yang kesat yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Hendaklah bertegur sapa dengan orang di sekeliling dan berbudi bahasa dengan semua orang.

Perubahan pada jemaah haji yang pulang dapat dilihat dari kelakuannya. Jika dulu pemarah sudah bertukar menjadi pemaaf. Menjadi seorang yang pemurah serta suka bersedekah jika dahulunya kedekut. Menjadi seorang yang berbudi bahasa jika dulunya jenis yang suka memaki hamun orang. Juga berubah menutup aurat jika dahulunya tidak kisah tentang hal tersebut.

Sebaliknya, dimanakah kesan ibadat haji jika seseorang pergi menunaikan fardhu haji dan kembali masih tiada apa-apa perubahan pada dirinya? Jika sekembalinya dari menunaikan haji, masih juga melakukan dosa besar, takbur dan tidak beramal dengan amalan Islam, ia memberi tanda haji dikerjakan itu tidak mabrur.

Jika ibadat hajinya tidak membawa apa-apa perubahan, ini bererti tidak ada pengajaran yang dapat diambil. Jika sifat-sifat buruk, syirik dan keji masih ada dalam dirinya, maka itu menunjukkan bahawa hajinya tidak mencapai matlamat. Ada yang pergi menunaikan haji untuk mendapatkan gelaran dalam lingkungan masyarakat sekelilingnya. Niat yang begini sudah pasti tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan pada dirinya.

Haji mabrur yang diterima oleh Allah SWT bagaikan seseorang itu baru keluar(dilahirkan) daripada perut ibu-ibu mereka iaitu tidak berdosa. Ia satu keadaan di mana mereka berpeluang untuk menebus dosa di atas segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Maka keadaan ini perlu dipelihara sebaik mungkin. Apa yang penting haji yang mabrur bukan sekadar membawa perubahan pada diri, tetapi juga mampu membawa perubahan kepada keluarga dan masyarakat.


Majlis Bacaan Yaasin dan Tahlil Untuk Bakal Haji 1431H












0 comments: