Mukjizat-mukjizat yang berlaku terhadap nabi di saat kelahiran dan sepanjang zaman kanak-kanak baginda membuktikan kepada kita umat Islam dan umat Manusia seluruhnya bahawa inilah penyelamat dunia yang ALLAH utuskan. ALLAH menghendaki Nabi Muhammad S.A.W. dikenali oleh semua umat manusia atas muka bumi sejak kecil lagi agar hujah orientalis barat dan orang-orang yang berniat jahat terhadap Muhammad dapat dipatahkan dengan mudah.
Ulang tahun kelahiran nabi Muhammad S.A.W. itu memang digalakkan untuk kita umat Islam mengingatinya tapi hendaklah kena dengan caranya. Kita boleh menyambutnya dengan memperbanyakkan selawat dan ibadah khusus yang dibuat oleh Nabi Muhammad S.A.W. sebagai tanda kecintaan kita kepada baginda sebagaimana firman ALLAH yg bermaksud;
"Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya kamu cintakan ALLAH,maka ikutlah aku, nescaya ALLAH akan mencintai kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu, Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun dan Maha Penyayang."
Pernah suatu ketika apabila nabi melihat Yahudi berpuasa Asyura sempena mengingati kisah terselamatnya Nabi Musa daripada Fir'aun dan bala tenteranya ketika melintasi laut merah, Nabi sendiri bersabda, "Kami adalah lebih berhak daripada kamu tentang Musa(amalan berpuasa)." Maknanya nabi sendiri mengiktiraf peringatan peristiwa agama. Maka sudah tentulah kita umat Islam lebih-lebih lagi perlu mengingati kelahiran nabi.
Seharusnya kita menanamkan azam untuk mengikuti sunnahnya sebagaimana firman ALLAH;
"Dan apa-apa yang datang daripada Rasul , maka ambillah. Dan apa-apa yang ditegahnya kamu daripadanya, maka hindarkanlah."
Kita juga sepatutnya menghayati sifat-sifat yang ada pada diri Rasulullah sebagaimana yang disebutkan oleh A'isyah apabila ditanya sahabat bagaimanakah akhlak nabi. Maka dijawabnya bahawa Akhlak nabi ialah al Qur'an. Antara sifat-sifat yang perlu dicontohi ialah berani, amanah, bercakap benar, menyampaikan dakwah, dan cerdik/bijaksana.
Terakhirnya, kita harus menyusuri kisah perjuangan nabi sepanjang bergelar Rasulullah dan cuba merealisasikan dalam kehidupan kita sendiri.