Monday, May 02, 2011

Perspektif Ulul Azmi

Para rasul ulul azmi mengharungi pelbagai tentangan dalam menghadapi umat masing-masing pada zamannya. Dalam surah al-Ahzab, ayat 7, Allah berfirman, "Ingatlah sewaktu Kami mengambil perjanjian daripada nabi-nabi dan engkau sendiri, Muhammad, daripada Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putera Maryam."

Nabi Nuh sebagai lambang keperibadian seorang bayi ataupun kanak-kanak tercermin daripada sikapnya dalam menghadapi umatnya. Nabi Nuh sering mengadu kepada Allah seperti kanak-kanak yang suka mengadu semua masalah kepada ibunya. Nabi Nuh berdakwah selama lebih daripada 950 tahun kepada kaumnya, namun apa yang diterima hanyalah cercaan, hinaan dan cacian. Oleh itu, Nabi Nuh memohon Allah mengazab kaumnya dengan banjir besar. Hanya Nabi Nuh dan para pengikutnya yang setia terselamat daripada banjir besar itu kerana mereka berada di atas bahtera.

Nabi Ibrahim pula ibarat seorang remaja yang sedang mencari jati diri. Nabi Ibrahim memikirkan perihal dirinya dan perihal Tuhan sewaktu bersendirian di tengah hutan belantara. Nabi Ibrahim berusaha mencari Tuhannya kerana berasa tidak puas dengan amalan kaumnya yang menyembah berhala. Nabi Ibrahim memerhatikan bintang, bulan dan matahari silih berganti. Apabila melihat bintang pada tengah malam yang gelap, Nabi Ibrahim mengira bintang itulah Tuhan. Begitu juga apabila melihat bulan purnama, Nabi Ibrahim menyangka itu adalah Tuhan. Namun Nabi Ibrahim tidak yakin kerana bintang dan bulan tenggelam pada waktu siang. Matahari yang bersinar pada waktu siang, tenggelam pula pada waktu malam. Jadi, tidak mungkin matahari itu Tuhan. Nabi Ibrahim merenungkan hal itu beberapa lama dan dengan pertolongan Allah serta kecenderungan fitrah manusia, Nabi Ibrahim akhirnya berjaya menemukan Tuhannya iaitu Allah Yang Maha Menciptakan alam semesta.

Seterusnya, Nabi Musa melambangkan pemuda perkasa kerana keberaniannya menentang Firaun dan bala tenteranya. Perjuangan Nabi Musa sebagai anak angkat Firaun, bersama saudaranya Harun, melambangkan perjuangan golongan bawahan menentang golongan atasan. Allah membantu perjuangan Nabi Musa dengan menenggelamkan Firaun bersama tenteranya ke dalam Laut Merah.

Nabi Isa melambangkan orang tua yang lembut dengan sikapnya yang sopan santun, menyebarkan kedamaian dan kasih sayang kepada kaumnya. Meskipun pada waktu itu, Nabi Isa berumur kira-kira 33 tahun dan tidak berkahwin, kedewasaan dan kelembutannya mengagumkan. Allah memberikan beberapa mukjizat kepada Nabi Isa. Dengan mukjizat itu, Nabi Isa mampu menyembuhkan orang sakit dan menghidupkan orang yang sudah mati. Sewaktu Nabi Isa masih bayi, beliau dapat berkata-kata sewaktu mempertahankan kesucian ibunya. Apa yang lebih utama adalah kurniaan kitab Injil kepadanya.

Akhirnya, Nabi Muhammad menjadi penyempurna dan pelengkap semua peribadi para rasul Allah. Baginda berperanan menyampaikan kepada umatnya bagaimana mereka perlu membina sikap yang baik mengikut sikap para rasul seperti di atas.

Wallahu'alam...sekadar perkongsian kita bersama...:)

0 comments: