Thursday, October 23, 2008

Tajuk hari ini....NASDEC 08..YDP :)

Perkahwinan Semasa Belajar:

Kebaikan dan keburukannya dalam Pembangunan Pelajar Universiti

Kamarul Azmi Jasmi

Pensyarah

Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial

Universiti Teknologi Malaysia

qamar@utm.my

Budaya perkahwinan semasa belajar di IPT di Amerika mengikut satu kajian telah mencapai angka 34,6% bagi perempuan ketika usia 20-24 dan 21,4% bagi laki-laki dalam usia tersebut. Bahkan ada sesetengah pelajar telah berkahwin seawal usia 18 tahun, namun mereka masih meneruskan pengajian mereka di IPT (Hoffman et.al., 1994). Namun, perkahwinan semasa berada dalam umur belajar ini masih belum diterima dengan baik kepada sebahagian besar masyarakat di Malaysia. Terdapat kajian membuktikan bahawa ada kalangan ibu bapa yang masih belum boleh menerima mahasiswa/i yang ingin berkahwin semasa mereka di IPT (Nor Rashidah Abdul Jamal 2006). Kebaikan dan keburukan berkahwin semasa belajar pada hakikatnya perlu diperincikan situasinya terlebih dahulu sebelum ibu bapa menolak atau menerima kehendak anak- anak mereka yang ingin berkahwin walaupun masih menuntut.

Kebaikan dan Keburukan Berkahwin Semasa Belajar dari Perspektif Islam

Bebanan berkahwin ketika masih lagi belajar sememangnya wujud. Kepada suami kerana perlu menanggung isteri (al-Tahrim 65:7). kepada isteri pula kerana perlu melayan suami (al-Tarmidhi, 1994: 386/2). Kepada kedua-duanya pula apabila si isteri mengandung, melahirkan dan menjaga anak. Dalam masa yang sama, mereka pula terpaksa membahagikan masa untuk belajar yang menyebabkan ada sebahagian mahasiswa/i terlibat terkandas di universiti (Cari Forum, 2007). Hal ini merupakan perkara pokok yang menjadikan sesetengah mahasiswa/i tidak ingin berkahwin dan ibu bapa pula keberatan untuk mengizinkan mereka berkahwin. Perlu dingat bahawa apabila menyebut perkataan kahwin semasa belajar, ibu bapa dan mahasiswa/i perlulah berbalik kepada situasi hukum perkahwinan. Terdapat beberapa hukum dan perkara yang perlu ibu bapa perincikan, iaitu hukum berkahwin bagi mahasiswa/i yang mempunyai keinginan untuk itu, definisi mampu mengawal nafsu dan mampu dalam nafkah. Seorang mahasiswa/i yang ada keinginan untuk berkahwin, maka hukumnya ada tiga. Sunat hukumnya jika mempunyai kemampuan dan mampu mengawal nafsunya. Wajib hukumnya jika mempunyai kemampuan dan tidak mampu mengawal nafsunya. Akhir sekali, makruh hukumnya jika tidak mempunyai kemampuan tetapi tidak boleh mengawal nafsunya (Ramayulis, 2001: 19).

Perkara kedua yang perlu diperhatikan ialah pengertian mampu nafkah untuk berkahwin yang menjadi persoalan utama ibu bapa menghalang anak mereka berkahwin. Nafkah wajib seorang suami terhadap isteri ialah sekurang-kurangnya 530 gram beras dengan lauknya. Nafkah pakaian pula ialah suami menyediakan untuk isterinya pakaian mengikut kebiasaan pakaian wanita dalam sesebuah masyarakat. Tempat tinggal pula, selagi seorang isteri sudah mempunyai tempat tinggal sama ada disewa atau dibelikan, sama ada duduk sekali atau berasingan dengan bertemu sesekali, maka itu sudah memadai dianggap sudah mampu menyediakan tempat tinggal (al-Husaini, 1941: 89/2). Apabila dilihat kepada mahasiswa yang mempunyai pinjaman pelajaran atau pun biasiswa, hal kemampuan ini sudah termaklum mencukupi jika pengurusan kewangan diselia dngan baik. Justeru, hukum mahasiswa/i yang berkeinginan untuk berkahwin sudah menjadi hanya sunat atau wajib. Kalau mereka mampu menahan nafsu sehingga tidak terjerumus ke lembah maksiat jadi sunat dan sebaliknya pula menjadi wajib. Perkara ketiga ialah kemampuan untuk mengawal nafsu daripada terjerumus ke lembah zina dan maksiat. Syariat mengukur kemampuan mengawal nafsu sehingga tidak terjerumus ke lembah zina ini ialah apabila mahasiswa/i tidak saling memandang antara satu sama lain dengan shahwat secara sengaja. Bahkan hukum melihat yang disunatkan seorang lelaki terhadap wanita sebelum berkahwin hanya sekali bagi orang yang sudah ada keazaman untuk meminang seseorang wanita. Itu pun dalam keadaan tidak diketahui oleh wanita bagi menjawa maruah diri dan keluarganya jika tidak jadi berkahwin. Selain itu, pandangan tersebut juga hanya tertakluk kepada kawasan muka dan tapak tangan (al-Zuhayly, 1989: 23/7). Bagaimana pula hukum mahasisw/i berbual dan berSMS dalam keadaan penuh berahi dan bernafsu. Dan jauh sekali hukumnya pula kalau sampai berpegang tangan, berpeluk-pelukan ketika menunggang motorsikal serta berdua-duaan tanpa mahram yang sudah jelas hukumnya sebagai haram (al-Bukhari, 1994: 2784; Muslim, 2001: 2391; al-Tarmidhi, 1994: 1091; Ahmad, 1994: 1833; al-Darimi, t.thn: 303). Jika mahasiswa/i sudah sampai terlibat dengan semua perkara ini, tidak syak lagi mereka sudah tidak mampu untuk mengawal hawa nafsu mereka yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah zina. Pada ketika ini, hukum wajib untuk berkahwin sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Terjerumusnya mahasiswa/i kepada kerosakan sosial dan lembah zina yang berpunca daripada perkara tersebut sudah banyak dilaporkan dalam kajian dan akbar (Mazrita 2003; MelakaFM 2008). Sekalipun mereka tidak terlibat dengan gejala yang dinyatakan, kesunatan berkahwin semasa belajar bagi yang berkeinginan untuk berkahwin itu sendiri sudah mempunyai faedah yang sangat besar jika diteliti sama ada dari segi akli dan naqli. Dari segi naqli antaranya, ialah perkahwinan merupakan satu ibadat sama ada dari hal persetubuhan antara keduanya ,curahan kasih sayang antara keduanya gurau senda antara kedua-duanya ), nafkah suami kepada isteri dan sedekah isteri kepada suaminya layanan dan komunikasi yang baik antara keduanya yang sebahagian besarnya adalah menjadi haram sebelum perkahwinan dan sebahagian kecilnya pula berdosa jika tidak menjaga batas-batasnya. Begitu juga adalah ditegaskan oleh Allah S.W.T. dan Rasullahnya bahawa perkahwinan menjaga mata daripada maksiat dan memelihara diri dari-pada zina Dari segi aklinya pula penulis suka mengambil pandangan daripada seorang mahasiswi sendiri yang menyebut:

“Perkahwinan semasa belajar boleh menjadi motivasi lagi yang malas belajar, ada yang lebih cemerlang selepas berkahwin. Mungkin hidup bahagia atau tahu tanggungjawab besar yang perlu dipikul. Mampu menghalang diri daripada maksiat, jiwa orang kahwin pastinya lebih tenang daripada gelojak nafsu orang bujang. Fikiran lebih matang untuk memahami erti kehidupan, matlamat, tujuan dan gerak kerja akan datang. Jiwa lebih realistik berbanding dahulunya banyak yang idealistik. Anak sebagai penenang jiwa. Kehadiran yang pasti ditunggu oleh setiap pasangan. Ramai yang belum berkahwin memandang perkahwian adalah seks, namun seks selepas kahwin sememangnya penting tetapi ianya mungkin jatuh ke tangga kedua, ketiga dan… Pasangan pasti resah sekiranya lambat mendapat anak. Betul ke? Kahwin dulu baru tahu, tak sama fantasi anda dengan dunia realiti. Kehidupan lebih teratur, masa lebih terancang.” (Datul Kisya, 2008)

Cadangan bagi Meningkatkan Pembangunan Pelajar yang Belum Berkeinginan atau Sudah atau dan Telah Berkahwin Semasa Belajar

Cadangan buat mahasiswa/i:

(1) Membuang mentaliti bahawa perkahwinan merupakan satu halangan dalam pelajaran tetapi perlu menganggap sebagai satu proses kematangan terhadap tanggungjawab.

(2) Memilih hidup berkahwin yang berpahala daripada berpasangan tanpa perkahwinan di IPT yang banyak dilingkari dengan dosa.

(3) Terbukti dalam kajian bahawa perkahwinan semasa belajar merupakan satu keseronokan yang fitrah terhadap naluri kemanusiaan. Oleh itu, mahasiswa/i perlu menimbang untuk menjadikan perkahwinan satu budaya yang baik untuk diamalkan.

(4) Mengubah pandangan bahawa kegagalan pelajaran sebenarnya lebih besar kerana kerosakan sosial berbanding perkahwinan.

(5) Keengganan mahasiswa untuk berkahwin sekalipun telah mempunyai calon dan dalam masa yang sama terus ingin hidup bercouple dengan tidak menjaga batas-batas syariat, menunjukkan bahawa dia merupakan lelaki yang takut memikul tanggungjawab dan tidak matang untuk memilih jalan kehidupan yang baik sebagaimana anjuran Islam.

Cadangan buat ibu bapa mahasiswa/i:

(1) Membuang mentaliti khususnya anak perempuan bahawa perkahwinan menghalang mereka daripada mendapat hak pendidikan.

(2) Memahami dan menerima dengan hati terbuka hikmah perkahwinan terhadap anak yang masih belajar di IPT.

(3) Melihat keperluan anak yang ingin berkahwin ketika masih belajar. Jika anak sudah ada keinginan itu, ibu bapa perlu menggalak dan mengizinkan mereka. Jika mereka ada calon, tetapi belum ada keinginan ke arah itu. Ibu bapa perlu melihat situasi anaknya sama ada boleh menjaga batasan syariat atau tidak. Jika ibu bapa mendapati bahawa anak mereka tidak dapat menjaga batasan itu, mereka perlu menggalakkan perkahwinan supaya dapat menghindarkan mereka daripada kerosakan moral dan kancah penzinaan.

(4) Membudayakan perkahwinan dan pelajaran terhadap diri sendiri dan anak-anak bagi memelihara tingkah laku dan moral.

(5) Tidak membebankan anak yang berkahwin sewaktu belajar dengan perbelanjaan perkahwinan yang tinggi. Perbelanjaan yang sederhana dalam perkahwinan itu sendiri lebih menepati syariat Islam.

(6) Cuba memahami dan membantu anak yang berkeluarga ketika belajar dengan cara mencukupkan keperluan mereka tanpa diminta. Ini memandangkan hidup mereka memiliki tanggungjawab keluarga dan pelajaran dalam keadaan sumber kewangan yang terhad.

Cadangan buat Institusi Pendidikan Tinggi:

(1) Menyediakan pusat temu jodoh kepada mahasiswa/i yang ada keinginan berkahwin tetapi sukar mendapat jodoh atau mempertemukan kumpulan yang berkerjaya di luar atau dalam universiti untuk berkahwin dengan mahasiswi di universiti. Dengan ini, pendidikan mahasiswi dapat diwujudkan dengan lebih jayanya sekalipun berkahwin.

(2) Memberi bantuan perbelanjaan perkahwinan kepada mahasiswa/i yang ingin mendirikan rumahtangga.

(3) Menyediakan lebih banyak kemudahan penginapan kepada pelajar yang berkahwin dengan sewa yang sangat berpatutan.

(4) Menggalak dan membudayakan institusi perkahwinan kepada mahasiswa/i berbanding budaya coupling tanpa ikatan perkahwinan di universiti.

(5) Menyediakan bantuan kewangan tambahan atau potongan yuran kepada mahasiswa/i yang berkahwin. Kumpulan ini layak mendapat zakat dan sedekah (fi sabillah) bagi meringankan beban kewangan.

(6) Menyediakan kemudahan kursus dan bengkel kepada mahasiswa/i yang akan dan telah berkahwin untuk memantapkan lagi pengurusan masa dan kewangan mereka ketika belajar. Selain itu, kursus perancangan keluarga juga perlu diwujudkan supaya mahasiswa/i mempunyai ilmu dan boleh merancangan untuk mendapat anak dalam tempoh dan masa yang sesuai. Ilmu ini penting agar kelahiran anak mereka tidak sehingga mereka terpaksa menangguhkan pengajian mereka satu atau dua semester.

(7) Menyediakan pusat jagaan anak kepada mahasiswa/i yang telah menimang cahaya mata memandangkan anak tetap menjadi subjek penting bagi mereka walaupun masih belajar di IPT.

Cadangan buat kerajaan

(1) Menghapuskan terus halangan pinjaman atau biasiswa yang mensyaratkan larangan berkahwin semasa di IPT dan khususnya di IPG.

(2) Membentuk dasar yang menggalakkan institusi perkahwinan di Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta serta pelajar yang dihantar ke luar negara bagi membendung gejala sosial. Untuk itu, kerajaan boleh memberikan bantuan kewangan berupa tambahan pinjaman atau biasiswa kepada pasangan yang sudah mendirikan rumahtangga bagi meringankan beban mereka.

(3) Memberi bantuan kepada IPT untuk mendirikan rumah-rumah kelamin dan pusat- pusat jagaan anak bagi meringankan beban pasangan mahasiswa/i yang berkahwin. Dengan ini, mereka boleh menumpukan perhatian kepada pelajaran dan keluarga dengan lebih terurus dan mantap.

Haa…menarik kan?..jadi fikir2kanlah wahai sahabat2ku sekalian. Hasil ini bukan bualan kedai kopi, tapi hasil kajian ilmiah seorang ustaz yang di dalam pengajian Doktor Falasafah ( Phd) di universiti Teknologi Malaysia skudai. Jadi..kertas kerja ini mungkin berguna buat kalian semua. Untuk kertas kerja yang sempurna boleh dapatkan sofcopy daripada saya, pinjam tak leh…Hehe.. Saya pun dalam perancangan nak Photostat banyak2 dan bagi kat akak saya yang sulong kat kampong tu..hehe..Yang lengkap punya siap dengan dapatan2 yang mungkin dapat membantu anda mengubah persepsi keluarga anda terhadap kehendak anda yang mungkin membuak2 di dada anda semua.

Yang penting adalah usaha, doa dan tawakkal..sekurang2nya anda berusaha tidak kira dengan apa jua cara. Tercapai atau tidak semuanya perancanagan Allah Ta’ala…..YDP : )

2 comments:

Kit Biasiswa said...

Info Yang bagus. Sedikit saya hendak kongsikan. Sekiranya ada diantara anda sedang mencari-cari biasiswa atau pinjaman. Usah risau dan kecewa, anda boleh dapatkan 40 Biasiswa 'Low Profile' di link ini >> Senarai Lubuk Biasiswa.

anis said...

salam. boleh sy dapatkan soft copy?..sy pun sedang siapkan proposal berkaitan tajuk kahwin ketika belajar untuk kajian ilmiah tahun akhir.sy dari UPSI tg malim. tq :)

emel sy: anis.andra@yahoo.com