AHMAD MUNSIF BIN ISMAIL
EXCO DAKWAH DAN KEROHANIAN JPP 2008/2009
http://abumusleh.blogspot.com
Pada tahun 1970-an, pelbagai golongan masyarakat Islam, para cendiakawan dan NGO di negara ini telah mengemukakan resolusi dan desakan agar sebuah maktab khas bagi melatih guru Pendidikan Islam ditubuhkan. Berikutnya pada bulan Februari 1977 sebuah unit Pendidikan Islam telah ditubuhkan di Maktab Perguruan Ilmu Khas sebagai titik tolak sebelum sebuah maktab tersendiri didirikan.
Kemudian unit ini dipindahkan bagi menjalankan pengajaran dan pembelajaran pada sesi petang di Bangunan Institut Bahasa, Lembah Pantai, Kuala lumpur. Pada bulan November 1977, Unit ini telah meningkat dan ditempatkan di bangunan sementaranya di bangunan bekas Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia di Seksyen 14, Petaling Jaya.
Pada bulan April 1983, Universiti Islam Antarabangsa yang baru ditubuhkan pada tahun itu telah mengambil alih bangunan tersebut dan operasi MPI dipindahkan pula ke bangunan menara dan beberapa buah bangunan kayu tinggalan Universiti Kebangsaan Malaysia di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Pada 14 Julai 1990 barulah MPI menduduki kampus tetap di Seksyen 12, Jalan Sungai Merab. Kampus ini terletak berhampiran Bandar Baru Bangi. Kampus ini yang mula dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-5 meliputi kawasan seluas 40 hektar menggunakan rekabentuk berunsur Islam, lengkap dengan kemudahan sebagai pusat latihan guru. Maktab Perguruan Islam telah dirasmikan oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor pada 30 Oktober 1992.
Mengangkat dan memartabatkan guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab adalah misi utama MPI sebagai Pusat Latihan Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Oleh itu guru pelatih yang menerima latihan adalah terdiri daripada KDPM, KPLI dan juga melatih KDP, KSPK, PKPG dan Pra PKPG.
Untuk kecermerlangan pentadbiran dan latihan keguruan MPI bersama 26 buah maktab yang lain di seluruh Malaysia telah berusaha untuk memperolehi pensijilan MS ISO 9002. Pada 8 Ogos 2002 MPI telah menerima penganugerahan Sijil MS ISO 9002 bersama maktab-maktab lain. MPI yang telah dikenali sebagai Institut Perguruan Islam Selangor akan terus berusaha bagi meningkatkan sistem pengurusan kualiti berasaskan MS ISO 9001:2000.
Namun begitu matlamat penubuhan IPIS bukan hanya sekadar memartabatkan guru-guru pendidikan Islam. Lebih-lebih lagi dalam keadaan pelajar-pelajar kursus pendidikan Islam yang semakin susut dari hari ke hari. Matlamat IPIS perlu melangkaui sempadan pemikiran sempit. Dalam erti kata lain IPIS perlu meletakkan matlamatnya untuk melahirkan guru-guru yang bertaqwa kepada ALLAH dan mengamalkan syariatnya. Ini kerana misi kita sebagai hamba Allah terlalu besar iaitu untuk melahirkan individu yang beramal dengan Islam, seterusnya mampu membentuk keluarga Islam dan dari itu akan lahirkan masyarakat Islam yang hidup dan beramal dengan Islam dalam setiap gerak geri kehidupan mereka. Dengan terbinanya individu, masyarakat, maka InsyaAllah akan terbentuk sebuah negara yang baik dan diredhai oleh Allah kerana di sana rakyat dan kepimpinannya mentaati perintah dan ajaran Islam secara syumul.
Institut perguruan Islam yang dahulunya dikenali sebagai Maktab perguruan telah mengalami perubahan dan transformasi yang pelbagai. Bukan sahaja dari sudut perubahan dari sudut nama bahkan dari pelbagai yang mmberikan kesan yang tidak sedikit kepada guru-guru keluaran IPIS.
Jika dahulu pelajar IPIS hanya terdiri daripada pelajar kursus Pengajian Islam dan Bahasa Arab sesuai dengan matlamat penubuhannya, namun kini segalanya telah berubah. IPIS bukan lagi bertindak sebagai sumber guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab untuk dihantar ke seluruh pelusuk tanah air tetapi menjadi sumber guru dalam pelbagai bidang pengajian.
Jika dahulu sukar untuk melihat pelajar IPIS berpakaian selain daripada baju kurung atau jubah serta bertudung labuh. Namun sekarang kita mudah untuk melihat muslimat IPIS berbaju T pendek, berseluar jeans, bertuduh pendek lagi jarang di mana-mana. Kalau dulu muslimat sanggup berjubah di luar dan berpakaian sukan di dalam sebelum sampai ke padang permainan semata menjaga kehormatan diri dan izzah IPIS. Namun segalanya kini tinggal kenangan. Muslimin dan muslimat sudah tidak kisah untuk bersukan bersama, bermain bola keranjang bersama, meniarap di hadapan lelaki, duduk menelentang di hadapan lelaki, makan dan duduk studi berdua-duaan. Belum lagi cerita-cerita di liuar pagar IPIS. Segalanya seolah menjadi trend baru IPIS dan seolah sudah menjadi lumrah pelajar IPIS.
Program-program yang dianjurkan semakin kurang menghormati IPIS sebagai sebuah pusat keluaran ustaz dan ustazah. Dalam masa yang sama peraturan-peraturan tidak lagi dihormati. Walhal peraturan-peraturan inilah yang bertindak sebagai acuan untuk membentuk peribadi bakal ustaz dan ustazah.
Bagaimanakah agaknya generasi didikan ustaz dan ustazah IPIS yang kebanyakannya tidak suka atau segan dipanggil ustaz ataupun ustazah ini. Kata pepatah, bapa borek anak rintik. Mungkinkah generasi masa hadapan akan merintik segala tingkah kita pada hari ini? Tepuk dada tanya iman dan tanya sejauh mana usaha kita....
0 comments:
Post a Comment